"Assalamualaikum," aku memberi salam kepada saudari yang berada di kaunter di hadapan pintu masuk.
"Waalaikumusalam, ada apa cik?" tanya saudari itu.
"Emm, saya Dahlia. Hari ni hari first saya berkerja di sini." jawabku dengan agak skema.
"Oh, ya ya, bos ada beritahu saya. Sebentar ya cik Dahlia. Cik duduk lah dulu," pelawa saudari itu.
Aku pun duduk di sofa yang tersedia di situ sambil mengambil majalah yang tersusun kemas di atas meja.
Baru sahaja aku hendak menyelak majalah itu ke halaman pertama, saudari itu memanggilku.
'iskh, baik tak payah suruh duduk, baru nak selak dah panggil..haish sabar Dahlia sabar' getus hati kecilku ini.
"Cik Dahlia, mari saya tunjukkan tempat cik, silakan ikut saya," saudari itu berkata. Aku membiarkan saudari itu berjalan mendahuluiku dan aku mengikutinya dari belakang.
"Cik Dahlia, ini meja cik. Mulai sekarang Cik Dahlia sudah boleh mula bekerja. Kalau ada apa-apa, bagitahu saya. Oh ya, minggu ini bos takde, dia ada mesyuarat di luar. Hmm, ok lah, selamat bekerja," kata saudari itu.
Aku pun duduk di kerusi itu. Terasa sangat kekok apabila banyak mata yang memandangku. Aku teringat kata-kata abangku, memang menjadi kebiasaan apabila ada pekerja baru yang baru mula bekerja, semua mata akan memandang ke arah pekerja baru itu. Tiba-tiba ada suatu suara yang menegurku.
"Awak pekerja baru kat sini eh? Hai,saya Ayu, awak?" tanya perempuan yang aku agak lebih kurang je umurnya dengan aku.
"Hmm, hai saya Dahlia. Nak tanya sikit boleh? kenapa semua orang tengok saya ni? saya rasa kekok lah." luahku.
"Haha, kat sini memang macam tu. Kalau ada pekerja yang baru mesti akan lalui bende yang sama. Sebenarnya kitorang kat sini memang rapat. Setiap kali ada yang baru kitorang akan adakan sesi berkenalan. Jom saya kenalkan awak dengan mereka, tapi bos minggu ni takde, lain kali je lah saya kenalkan." terang Ayu panjang lebar.
Hari pertama aku bekerja tidaklah seteruk yang disangka. Rakan-rakan sekerjaku semuanya ramah-ramah belaka. Masing-masing dengan sikap yang berlainan. Walaupun aku baru mula bekerja pada hari ini, aku berasa seperti sudah rapat dengan mereka. Keadaan itu membuatku berasa bertambah bersemangat untuk bekerja di situ.
*****
Sudah seminggu aku bekerja di sini, tetapi aku masih lagi tidak mempunyai peluang untuk berjumpa dengan bosku. Aku diberitahu oleh Kak Suraya iaitu kakak yang menjaga kaunter di hadapan pintu masuk itu bahawa bos out station selama seminggu. Dan sebab itu lah aku masih belum berkesempatan untuk bertentang mata dengan beliau. Malah, namanya juga aku tidak tahu. Nak buat macam mana, tiada seorang pun yang bercerita mengenai bos di hadapanku.
*****
Aku mendapat tahu yang bos sudah pulang dari out station. Beliau akan datang ke pejabat pada hari ini. Ini bermakna aku akan dapat berjumpa dengan bosku pada hari ini. Akhirnya. Dan tiba-tiba, aku rasa sangat berdebar untuk bertemu dengan beliau. Lelaki ke perempuan? Kurus ke gemuk? Tinggi ke rendah? Putih ke hitam? Macam macam persoalan yang bermain di kotak fikiranku ini.
"Selamat pagi bos." para pekerja bersuara.
Disebabkan meja aku membelakangkan pintu masuk, aku tidak perasaan bos lalu ketika itu. Aku hanya sempat melihat susuk tubuh bosku dari arah belakangnya sahaja. Tak sempat nak lihat rupanya. Lelaki. Bosku seorang lelaki.Tinggi, kurus dan berkulit agak cerah. Aku bertambah berdebar apabila mengetahui bosku seorang lelaki. Aku seorang yang susah bekerja dengan lelaki. Nampaknya aku perlu membuang jauh-jauh sikap itu dan mencuba sehabis mungkin untuk menjadi profesional.
"Dahlia, bos panggil masuk. Dia kata dia nak jumpa pekerja baru." kata-kata Kak Suraya menyedarkan aku dari lamunan.
Perasaan berdebar membuak-buak apabila aku mendengar apa yang dikatakan Kak Suraya.
"Kak Su, saya takutlah," luahku sambil memegang tangannya.
"Apa nak takut. Jangan risau, bos tu baik. Dia tak makan orang." balas Kak Suraya sedikit ketawa.
'Memanglah tak makan orang, dia tu manusia. Kalau dia makan orang memang takde orang nak kerja kat sini' kataku dalam hati.
"Apa tunggu lagi, pergilah Dahlia. Encik Bos tengah tunggu tu. Awak chill je. Bos tu ok. Chaiyok chaiyok" Ayu memberi semangat.
Tuk tuk. Aku mengetuk pintu sebelum masuk. Itulah yang biasa aku lihat di kaca televisyen apabila pekerja ingin masuk ke bilik bos mereka. aku buat apa yang terlintas di fikiranku pada waktu itu.
"Masuk," kedengaran suara yang agak garau dari dalam bilik itu.
Aku membuka pintu sambil mulutku beristighfar. Aku masih lagi berdebar. Entah apa yang aku takutkan sangat aku pun tak tahu.
Saat aku melangkah masuk ke bilik itu, kami sama-sama tergamam. Baik aku yang sedang berdebar ni mahupun orang yang sedang duduk di kerusi itu.
*****